Laporan Khas: Sayang anak punca kes dera meningkat

Ibu bapa perlu beri tumpuan bimbing keluarga

KUALA LUMPUR: Kes ‘anak derhaka’ sejak kebelakangan ini semakin meningkat dan perangkaan menunjukkan penderaan fizikal terhadap ibu kandung adalah paling banyak berlaku, diikuti penderaan terhadap ibu mentua. 

Gejala sosial yang tidak sihat ini terus meningkat dari semasa ke semasa dan berdasarkan perangkaan dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, sepanjang 2008 sehingga Jun 2010, penderaan fizikal terhadap ibu kandung adalah 91 kes.
Ini diikuti penderaan terhadap ibu mentua sebanyak 24 kes; ibu saudara, lima kes; dan ibu tiri, satu kes. Lebih mengejutkan, ada anak berusia seawal 16 tahun lagi sudah terbabit dalam kes penderaan ibu.
Bagaimanapun, setakat ini kes jenayah berat seperti mendatangkan kecederaan parah dan kematian masih berada pada tahap rendah dan tidak membimbangkan. 

Ibu yang seharusnya menjadi tempat bergantung kini dijadikan tempat untuk meluahkan rasa marah sehingga sanggup melakukan kekerasan fizikal. 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual/Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Hamidah Yunus, berkata statistik itu dilihat semakin membimbangkan dan tidak menolak kemungkinan akan terus meningkat sehingga akhir tahun ini. 

“Jika dilihat statistik yang dikeluarkan, kes selisih faham adalah kes tertinggi direkodkan. Antaranya berkaitan dengan pilih kasih dan pembahagian harta. Ibu lebih sayang kepada anak lain dan menimbulkan rasa cemburu si anak sehingga sanggup melakukan penderaan. 
“Kerana sifat marah yang tidak terkawal, mereka terlupa dengan siapa mereka berdepan. Ada kes yang dilaporkan kepada kami membabitkan anak memukul ibu seperti terajang, tampar dan juga menggugut menggunakan senjata atau perkataan. 

“Kebanyakan mangsa adalah ibu kandung yang mana pada enam bulan pertama tahun ini saja, sebanyak 31 kes dilaporkan membabitkan kes penderaan terhadap ibu kandung,” katanya kepada Berita Minggu. 

Situasi penderaan fizikal terhadap ibu bapa serta perlakuan anak yang dilihat tidak terkawal dianggap membimbangkan serta boleh memusnahkan masa depan generasi warga emas, walaupun hanya dianggap kes terpinggir. 

“Ada antara mereka, terutama ibu enggan melaporkan kepada pihak polis kerana tidak mahu menanggung malu dan juga masih sayangkan anak. Tidak kurang juga yang enggan turun naik mahkamah dan berasakan pihak kami tidak akan mengambil tindakan jika mereka melaporkan kepada kami. 

“Setiap kes yang dilaporkan kepada polis akan disiasat dan diteliti mengikut seksyen dalam Kanun Keseksaan. Kami ada beberapa seksyen dalam Kanun Keseksaan 1994 seperti Seksyen 506, ugut jenayah dengan mengeluarkan perkataan dan senjata dan Seksyen 324, dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata pisau dan kayu,” katanya. 

Hamidah berkata, institusi kekeluargaan yang semakin renggang adalah faktor utama perkara seperti ini berlaku dengan hubungan ibu dan anak yang tidak akrab dan tiada komunikasi jelas antara mereka. 

“Anak zaman kini berbeza dengan zaman dulu dan jika dilihat, mereka kini tidak boleh ditegur. Jika ditegur mulalah naik angin dan bertindak ganas. Tiada perasaan hormat terhadap orang tua terutama ibu bapa. 

“Ibu bapa perlu memberi perhatian lebih kepada anak dan juga anak perlu menilai semula dari segi akal fikiran sebelum bertindak melakukan sesuatu. Kedua-dua mereka perlu bergandingan agar hubungan lebih akrab dan harmoni,” katanya. 







Oleh Alzahrin Alias 

berita harian online..




By " Tyna Shinohara


Tiada ulasan: